Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan satu perhimpunan aman di depan Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang, pada hari ini, bagi membantah kekejaman yang dilakukan oleh rejim Myanmar ke atas Muslim Rohingya. Acara tersebut bermula di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat dengan ucapan ringkas Ust Umar Hussein, yang juga pimpinan Pusat HTM mengenai perkembangan di Myanmar dan seterusnya menyeru para jemaah agar bersama-sama berarak ke Kedutaan Myanmar.
Peserta kemudian berjalan kaki sejauh lebih kurang 2 kilometer dari masjid, melalui jalan Ampang menuju ke Jalan Ampang Hilir di mana terletaknya kedutaan Myanmar. Selain HTM dan para jemaah yang prihatin, terdapat anggota Majlis Ulama Rohingya dan beberapa Muslim Rohingya lain turut serta di dalam acara penyerahan memorandum bantahan ini.
Polis trafik dilihat membantu mengawal lalu lintas di sepanjang perarakan tersebut. Para peserta melaungkan takbir dan syahadah di sepanjang perjalanan menuju kedutaan. Ramai pengguna jalan raya yang turut membunyikan hon kenderaan masing-masing sebagai tanda sokongan.
Peserta demonstrasi tidak dibenarkan menghampiri kedutaan oleh sepasukan polis yang telah siap berkawal lebih kurang 200 meter dari kedutaan. Bagaimanapun, empat orang wakil HTM dibenarkan menyerahkan memorandum bersama beberapa orang wakil media yang turut dibenarkan mengambil gambar.
Kedutaan Myanmar menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab mereka dengan tidak menghantar seorang wakil pun untuk menerima memorandum tersebut, sebaliknya hanya meminta agar ia dimasukkan ke dalam peti surat sahaja.
Di tempat perhimpunan, beberapa anggota HTM memberikan ucapan yang penuh semangat, menjelaskan kepada para peserta akan nasib yang menimpa saudara-saudara mereka di bumi Arakan, Myanmar. Pembicara turut menjelaskan bahawa antara sebab kenapa pembunuhan dan kezaliman terus berlaku ke atas Muslim Rohingya adalah kerana pemerintah Muslim yang ada pada hari ni hanya berdiam diri di atas isu ini. Pemimpin Muslim sepatutnya menghantar bantuan ketenteraan bagi menyelamatkan Muslim Rohingya dan sekali gus mengajar kebiadaban rejim Myanmar ke atas kaum Muslimin di sana, tegas para pembicara.
Pembicara seterusnya menekankan bahawa kesemua pemimpin sekarang sudah tidak boleh diharap untuk membantu umat Islam dan satu-satunya harapan yang tinggal adalah dengan adanya Daulah Khilafah yang akan menyelesaikan masalah ini dengan tuntas. Justeru, HTM menyeru agar seluruh kaum Muslimin berusaha bersama Hizbut Tahrir bagi menegakkan kembali Daulah Khilafah, yang bukan sahaja merupakan sebuah kewajipan tetapi Insya Allah akan mengembalikan semula kemuliaan Islam dan penganutnya dan menghancurkan segala kezaliman.
Jurucakap HTM, Ust Abdul Hakim Othman, ketika menjawab soalan media di akhir perhimpunan, menjelaskan bahawa tujuan penyerahan memorandum tersebut adalah untuk menyatakan bantahan terhadap rejim Myanmar yang telah membunuh ramai Muslim Rohingya, merogol wanita-wanita mereka, membakar kampung-kampung mereka, menafikan hak-hak mereka dan banyak lagi kezaliman lainnya. Menurutnya lagi, berita terbaru melaporkan yang pihak rejim akan melakukan pembunuhan besar-besaran (massacre) ke atas Muslim Rohingya, sebelum bancian penduduk pada akhir Mac ini (rujuk:http://www.utusan.com.my/
Di dalam memorandum bantahan tersebut, HTM mendesak rejim Myanmar agar menghentikan segera segala pembunuhan dan kekejaman ke atas Muslim Rohingya serta mengembalikan kesemua hak mereka. Jika rejim tidak berbuat demikian, Khilafah yang akan muncul tidak lama lagi sudah pasti akan membalas segala kekejaman rejim dengan sewajarnya.
Peserta perhimpunan bersurai dengan aman setelah lebih kurang setengah jam berhimpun.[] http://www.mykhilafah.com/